
KOTA KINABALU – Kerajaan akan menaik taraf pelbagai fasiliti di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di negeri ini bagi menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, bagi memastikan ILKKM Sabah dilengkapi dengan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang terkini, Bahagian Pengurusan Latihan KKM akan menaik taraf peralatan PdP mengikut keperluan institut berkenaan.
“Pada tahun 2025, ILKKM Sabah yang melibatkan Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau akan menerima peruntukan sebanyak RM199,626 untuk pembelian peralatan PdP.
“Selain itu, kebajikan pelatih ILKKM Sabah juga akan diberi perhatian dengan menggantikan tilam dan katil yang usang.
“Sebanyak 1,354 buah tilam dan 1,354 buah katil baharu telah diterima bermula Oktober 2024 dengan kos sebanyak RM737,040,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata, akan sentiasa memberikan komitmen tinggi bagi membantu meningkatkan fasiliti serta keperluan PdP di ILKKM.
“Kebajikan pelatih akan terus diberi keutamaan dalam memastikan mereka mendapat latihan yang terbaik dan persekitaran yang selesa,” ujarnya.







