WONG CHUN WAI
PELETAKAN jawatan dua menteri dalam satu hari mungkin disifatkan sebagai insiden malang, namun hakikatnya ia bukan kemudaratan buat kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, ia membuka ruang kepada penyegaran dan pembaharuan kepimpinan.
Perdana Menteri memasuki fasa ini bukan dari posisi yang lemah, sebaliknya dengan rekod kepimpinan yang sudah teruji. Baru-baru ini, beliau berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, sekali gus menyerlah sebagai tokoh negarawan serantau yang mengemudi dasar luar Malaysia dengan tegas dan berprinsip. Di dalam negara, kerajaan pimpinannya kekal menguasai majoriti Parlimen, disokong gabungan pelbagai latar etnik, ideologi dan wilayah.
Perletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Mat, sememangnya menarik perhatian namun, ianya tidak menggugat kestabilan kerajaan mahupun menjejaskan kesahihan mandat yang diperoleh.
Rafizi, seperti dijanjikan dalam kempen pemilihan PKR, berundur selepas tewas mempertahankan jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar. Nik Nazmi pula, yang turut tersingkir daripada jawatan Naib Presiden, mengambil langkah sama.
Kedua-dua tokoh ini dihormati ramai – bukan hanya dalam kalangan anggota parti, tetapi juga rakyat secara umum. Nik Nazmi dikenali sebagai menteri yang cekap dan mudah didekati, manakala Rafizi menggunakan media sosial dengan berkesan untuk menyampaikan dasar dan mendepani kritikan. Kemampuan beliau menjelaskan isu kompleks dalam bahasa mudah menjadikan beliau aset penting kepada kerajaan.
Namun dalam politik, kekalahan adalah realiti yang harus diterima. Kedua-duanya telah memberikan sumbangan besar dalam gerakan Reformasi sejak awal, ketika PKR masih belum diterima arus perdana. Mereka memilih perjuangan berprinsip, meskipun berdepan risiko dan ketidakpastian, meninggalkan peluang kerjaya lebih lumayan di sektor korporat.
Ada laporan palsu kononnya 11 ahli Parlimen PKR akan menarik sokongan terhadap Anwar – sesuatu yang segera dinafikan oleh Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang. Malah, Nik Nazmi turut menegaskan bahawa beliau dan Rafizi tidak akan mengkhianati parti, meskipun telah berundur daripada jawatan menteri.
Dalam konteks sistem pemerintahan berasaskan gabungan, perletakan jawatan menteri bukanlah perkara luar biasa. Ia bukan isyarat keruntuhan, tetapi sebahagian daripada dinamika pembaharuan dalam pentadbiran. Malah, tiada rakan gabungan yang menarik sokongan, tiada insiden lantai silang, dan tiada usul undi tidak percaya yang dikemukakan.
Agenda utama kerajaan – pemulihan ekonomi, reformasi institusi, tadbir urus yang baik dan keadilan sosial – kekal utuh. Kementerian-kementerian terus berfungsi seperti biasa, projek pembangunan berjalan lancar, dan keyakinan awam terhadap hala tuju dasar kerajaan tidak terjejas.
Sebaliknya, rombakan ini memberi peluang kepada Anwar untuk menyuntik nafas baharu dalam Kabinet. Ruang kini terbuka kepada tokoh-tokoh baharu – sama ada ahli Parlimen, teknokrat mahupun reformis – untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan dasar negara.
Antara nama yang disebut-sebut termasuk ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung yang berpengalaman dalam isu alam sekitar, serta Syed Ibrahim Syed Noh dari Ledang, seorang aktivis hak asasi dan reformasi undang-undang.
Pemilihan tokoh baharu boleh membantu mempertajamkan fokus pentadbiran menjelang separuh penggal pemerintahan. Anwar juga dijangka mempertimbangkan pengganti bagi Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, yang keanggotaannya sebagai senator tamat hujung tahun ini.
Langkah ini bukan petanda krisis, tetapi peluang untuk memperkukuh pasukan, menyampaikan mesej prestasi dan perpaduan, serta menegaskan komitmen terhadap ketelusan.
Dari sudut lebih besar, episod ini mencerminkan kematangan politik negara – bahawa perubahan dalam kerajaan tidak semestinya bermakna kegoyahan, tetapi satu fasa pembaharuan demi masa depan yang lebih mantap.
Penulis merupakan seorang wartawan veteran yang kini merupakan Pengerusi Bernama. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis.






