
PEMAIN Selangor, Faisal Halim turut memiliki bakat terpendam sebagai seorang jurulatih.
Dia yang berusia 27 tahun itu dilihat memainkan peranan sebagai jurulatih pasukan Akademi Bolasepak DNA Faisal Halim.
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengorbankan waktu rehat liga dengan menjadi jurulatih pasukan akademi itu yang menyertai Kejohanan Bolasepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 Tahun, semalam.
Kejohanan anjuran Akademi Bolasepak DNA Faisal Halim dan Skuad Bolasepak Rembat Dadah berlangsung di Mengkuang Titi, Penanti itu menarik penyertaan 18 pasukan, termasuk dari Pulau Pinang dan Kedah.
Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, Faisal dilihat begitu bersemangat sebagai jurulatih dengan memberi arahan kepada pasukannya dari tepi padang.
Menerusi laporan dalam BH Sukan, Faisal menjelaskan arena bola sepak negara memerlukan lebih banyak kejohanan sebagai pendedahan untuk pemain pelapis.
“Ini tahun kedua kita melaksanakan pertandingan peringkat bawah 12 tahun dan saya berharap kita dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu.
“Ia pengalaman pertama saya membawa pasukan dan melatih sendiri adik-adik yang baru nak faham bola sepak.
“Bukan mudah… tetapi mereka teruja selepas hampir seminggu menjalani latihan sampai tak nak cuti,” katanya.