BERSATU mengesahkan laman Facebook rasmi parti itu telah diambil alih oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak petang semalam.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail bin Aziz berkata, pencerobohan digital itu mengakibatkan beberapa pentadbir (admin) sah disekat daripada mengakses halaman, manakala kandungan yang menyerang kepimpinan parti mula dimuat naik secara haram.
Tun Faisal menjelaskan, pihaknya telah berjaya mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi dalang di sebalik insiden tersebut.
“Individu berkenaan merupakan salah seorang pentadbir halaman dan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin Bersatu yang telah dipecat daripada jawatannya semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bersatu menegaskan bahawa segala hantaran yang berbaur serangan terhadap parti di laman tersebut sejak semalam adalah tidak sah dan tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan.
Pihak parti kini dalam usaha memperkukuhkan keselamatan digital bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Sehubungan itu, Tun Faisal memaklumkan satu laporan rasmi telah dibuat kepada pihak Facebook (Meta) bagi tujuan pemulihan segera akses halaman rasmi parti.
“Aduan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Satu laporan polis juga telah dibuat untuk siasatan jenayah.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang kandungan mencurigakan sehingga kawalan sepenuhnya berjaya dipulihkan,” katanya.







