KUALA LUMPUR – Bersatu menegaskan tindakan memecat beberapa pemimpin kanannya dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti dan bukan secara terburu-buru.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai usaha sudah dilaksanakan sebelum keputusan itu diambil, termasuk mengadakan beberapa siri perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian demi memastikan parti kekal bersatu dan stabil.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terdapat pihak yang terus melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan parti sehingga memaksa kepemimpinan mengambil langkah tegas.
“Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu, saya bertanggungjawab memastikan parti terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangan sebenar.
“Saya dan ramai lagi yang terbabit dalam perjuangan parti Bersatu sejak awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Selama beberapa tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.
“Saya juga sudah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada pihak yang saya tahu menentang saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini.
Semalam, Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya termasuk beberapa anggota MPT, merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Antara yang terlibat ialah Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Turut dikenakan tindakan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang juga Ahli MPT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, Mohd Yadzil Yaakub; serta Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.
Beberapa pemimpin bahagian dan sayap turut digugurkan keahlian, termasuk Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Muhyiddin berkata tindakan disiplin itu diambil selaras dengan Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu bagi memastikan parti kekal kukuh dan tidak terjejas dengan sebarang pelanggaran disiplin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata sebelum ini pihaknya memberi ruang dan peluang kepada pemimpin yang tidak sehaluan atas dasar kepercayaan demi memelihara perpaduan parti.
Namun, katanya, tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus berlaku sehingga boleh menjejaskan keyakinan ahli sekiranya tidak dibendung.
“Justeru, saya dan rakan dalam barisan kepimpinan Bersatu bertekad, sudah tiba masanya proses disiplin parti yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti.
“Ini adalah antara tindakan perlu diambil dan pilihan terbaik ketika ini dalam usaha memulihkan perpaduan dan menyelamatkan parti,” katanya.







