
KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyambut baik pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang baharu seorang anak jati Sabah sebagai bukti bahawa rakyat Sabah juga mampu memimpin agensi kerajaan di peringkat persekutuan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, asal-usul bukan faktor utama sebaliknya komitmen, kesungguhan dan wawasan individu untuk memacu agenda pembangunan usahawan dan kewangan negara adalah lebih penting.
“Sama ada dia datang daripada Sabah, datang daripada Sarawak, datang daripada Semenanjung, pada saya itu adalah perkara yang kedua.
“Perkara pertama ialah komitmen, kesungguhan dan wawasan beliau untuk bekerjasama dengan kementerian serta pimpinan lain dalam kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan dapat dilaksanakan dengan jayanya di INSKEN.
“Siapa saja rakyat Malaysia yang dilantik wajar diberi peluang, namun sebagai anak Sabah, saya mahu beliau buktikan rakyat Sabah juga mampu memimpin dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI E-INVOIS, di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini pada Selasa.
Tambah Ewon, selaras dengan dasar padang ke timur dalam negara yang dilaksana oleh kementeriannya memberi fokus khas kepada Sabah dan Sarawak.
“Saya banyak memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Skim Pembiayaan Usahawan Kerap dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak mahu usahawan Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah berasa terpinggir,” katanya
Ewon berkata, sebarang pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan perlu disesuaikan dengan keperluan sebenar di sesuatu kawasan.
“Apa yang sesuai untuk Sabah dan Sarawak memerlukan pendekatan yang tersendiri.
“Johor, sebagai negeri yang bersempadan dengan Singapura, pula memerlukan strategi yang berbeza.
“Negeri-negeri di utara seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu mempunyai keperluan tersendiri manakala kawasan perindustrian seperti Selangor dan Pulau Pinang memerlukan model pembangunan yang berbeza,” katanya.







