
DEMI mengelak berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kepala Batas, Pas akan membantu Dr Siti Mastura Muhammad melunaskan bayaran saman fitnah terhadap tiga pemimpin DAP.
Alasan itu diberikan oleh Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang berkata, PRK akan membabitkan kos lebih tinggi dan parti itu tidak mahu ia berlaku di Kepala Batas.
“Walaupun ini kesalahan satu pihak saja tetapi dalam sirah (sejarah), ada sahabat yang tersilap, nabi minta bantu sahabat itu.
“Jadi dalam hal ini, kita meminta bantuan dalam kalangan ahli kita saja dan tidak membabitkan rakyat kerana ini tanggungjawab parti.
“Kita nak elak daripada PRK, jika ada PRK, semua ahli kena turun (bekerja), jadi masa, tenaga dan kos banyak digunakan,” katanya dipetik BH, hari ini.

Pengakuan Muhammad Fawwaz itu sekaligus membuktikan Pas di mata rakyat sebagai parti yang menghalalkan perbuatan salah ahlinya walaupun telah didapati bersalah oleh mahkamah.
Menurutnya, Pas kini menunggu keputusan daripada permohonan Siti Mastura untuk menangguhkan pembayaran itu dan pengurangan bayaran bagi tindakan selanjutnya.
Jelasnya, Pas juga sedia maklum berhubung notis kebankrapan yang akan difailkan terhadap Siti Mastura jika Ahli Parlimen itu gagal membayar jumlah denda diputuskan mahkamah.
“(Permohonan) rayuan untuk minta pengurangan dan penangguhan bayaran (denda) sudah dibuat Siti Mastura dan kita tunggu keputusan itu.
“Jika tidak bayar (denda) akan diproses notis kebankrapan dan jika bankrap (muflis) sudah tentu Siti Mastura akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan PRK akan diadakan semula.
“Selepas pertimbang kos PRK yang akan bawa mudarat (kesan) jauh lebih besar, kita akur pilih (bayar denda) yang kesannya lebih kecil,” katanya.
Siti Mastura boleh hilang kelayakan Ahli Parlimen apabila diisytiharkan muflis jika gagal membayar ganti rugi saman fitnah diperintahkan terhadapnya.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Georgetown pada 4 Disember lalu yang memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM825,000 kepada veteran dan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok selepas didapati memfitnah.
Mahkamah memutuskan kenyataan Siti Mastura yang didakwa mengaitkan semua plaintif mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.
Muhammad Fawwaz berkata, kutipan dana bagi membantu Siti Mastura diuruskan pihak atasan dengan hanya meminta bantuan daripada ahli Pas saja.