
KENAIKAN unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh beberapa institusi antarabangsa sekali gus membuktikan kemapanan prospek ekonomi Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia berada di landasan yang tepat dalam memacu ekonomi negara.
Beliau juga berkata, MITI akan berusaha lebih keras dalam membawa masuk pelaburan berkualiti yang bakal membuka peluang pekerjaan dengan gaji lebih lumayan untuk rakyat Malaysia.
“Lepas satu persatu institusi antarabangsa menyuarakan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia.
“Sebelum ini Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2024 kepada 4.9 peratus ini daripada unjuran asal 4.3 peratus pada April yang lepas.
“Sekarang ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus daripada unjuran asal 4.4 peratus.
“Jadi ‘we are on the right track’ dan InsyaAllah MITI akan berusaha untuk meningkatkan perdagangan untuk menarik pelaburan berkualiti bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi,” katanya menerusi satu video di platform TikTok beliau.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, memandangkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, purata pertumbuhan bagi tempoh tiga suku terawal tahun ini mencapai 5.2 peratus.








