
KUDAT – Pembangunan menerusi sektor Ekonomi Biru akan terus memacu kemajuan di daerah yang berpotensi besar seperti Kudat, berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran China, Korea Selatan dan Jepun.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor berkenaan yang dilancarkan tahun lalu diharapkan menjadi pendorong kepada perubahan dalam pemelbagaian ekonomi negeri tersebut.
“Kudat dengan kemudahan utamanya, termasuk laut dalam dan pelabuhan, sangat sesuai untuk pembangunan ini.
“Begitu juga Taman Perindustrian Kudat yang dicadangkan, yang memfokuskan kepada industri berkaitan makanan laut dan logistik perdagangan.
“Diharapkan ini dapat memacu pembangunan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, pada Majlis Perasmian Pusat Pameran Galeri Sejarah Hakka dan Mercu Tanda Kapal-Gereja, Lausan, di sini, pada Ahad.

Menurut Hajiji, perkhidmatan feri baharu ke Palawan juga diharapkan dapat meningkatkan perdagangan, pelancongan dan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta mendorong pemelbagaian ekonomi.
Sementara itu, Hajiji juga memuji usaha Gereja Kristian Basel Malaysia (BCCM) membina Mercu Tanda Kapal-Gereja dan Pusat Pameran Galeri Sejarah Hakka yang mempamerkan warisan budaya komuniti Hakka Cina di Sabah yang berhijrah ke Kudat lebih 100 tahun yang lalu, pada tahun 1883.
“Sesungguhnya, kedua-dua mercu tanda bersejarah ini merupakan bukan sahaja pencapaian seni bina dan budaya tetapi adalah simbol warisan, semangat komuniti dan perpaduan.
“Kita menghargai bahawa tempat ini yang dibina sebagai kompleks komuniti harta warisan, akan berfungsi untuk mendidik generasi akan datang tentang akar dan identiti mereka,” kata beliau.
Tambahnya, pembangunan tapak berkenaan yang akan menjadi destinasi pelancongan yang unik adalah suatu pemikiran ke hadapan.
“Daya tarik budaya dan sejarahnya akan menarik pelancong dari dekat dan jauh. Aliran pengunjung yang ramai tidak hanya akan meningkatkan visibiliti Kudat tetapi juga akan menghasilkan keuntungan ekonomi.
“Keuntungan itu adalah untuk komuniti setempat yang akan mencipta pekerjaan, menggalakkan keusahawanan dan meningkatkan mata pencarian,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha seumpama itu sepenuhnya.
“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan untuk membantu rakyat, tanpa mengira bangsa atau agama.
“Tahun ini, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM70 juta untuk badan agama bukan Islam, sekolah misi dan sekolah swasta bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.
“Ini adalah peningkatan RM13.25 juta berbanding peruntukan 2024 sebanyak RM56.75 juta.
“Kami akan terus membantu untuk memastikan perpaduan, keharmonian kaum dan toleransi agama yang kukuh akan terus wujud,” jelasnya.




