HIMPUNAN Pembebasan Palestin di Bukit Jalil pada 4 Ogos lalu masih meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.
Ia apabila Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menerima surat penghargaan dari pejabat Kedutaan Palestin di Malaysia kerana ucapan berkesan beliau ketika program berkenaan.
Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pihaknya berbesar hati menyampaikan penghargaan kepada Sim di atas pendirian tegas terhadap Palestin.
“Beliau (Sim) sentiasa menunjukkan solidariti yang kuat ketika di Axiata Arena tempoh hari bahawa Palestin adalah isu yang sangat penting bagi semua rakyat Malaysia yang sekeras-kerasnya menentang pembunuhan berdarah.
“Saya bangga dengan solidariti teguh yang wujud antara Malaysia dan Palestin dan berterima kasih kepada Sim atas sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Sudah pasti perpaduan ditunjukkan anda memberi kami harapan dan dorongan bahawa pendudukan tentera Israel pasti akan berakhir,” katanya dalam surat berkenaan.
Walid turut mendoakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam daripada DAP itu terus sihat dan bahagia.
“Kepada saudara rakyat Malaysia semoga sejahtera hendaknya,” ujarnya.




