
KALABAKAN – Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu menerima jumlah permohonan yang banyak bagi rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, proses penilaian bagi kesemua permohonan itu kini dalam peringkat akhir bagi memastikan mereka yang benar-benar layak diberi keutamaan.
“Sebenarnya yang memohon itu memang ramailah, ribu juga. Tapi kita tapis permohonan melalui Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang mereka berkelayakan akan dapat.
“Kita sekarang sedang meneliti senarai 40 penerima terakhir yang layak dan rumah SMJ insya-Allah akan didirikan secepat mungkin,” katanya selepas menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada enam Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN Tanjung Batu, di Tawau,” katanya.
Kesemua kediaman berkenaan adalah di Kampung (Kg) Merotai Simpang 3, Kg Baru Pasir Putih, Kg Bukit Gemuk Pasir Putih dan Kg Tanjung Batu Laut.
Andi yang yang juga ADUN Tanjung Batu berharap agar kesemua penerima terbabit menjaga baik kediaman mereka dan tidak melanggar syarat-syarat diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Mengenai Rumah Mesra SMJ bagi tahun lepas, beliau berkata terdapat beberapa lagi rumah sedang dalam pembinaan dan akan diselesaikan segera.




