
ISU bakal Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota tidak perlu dibincangkan di media.
Demikian tegas Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan pada Isnin, selepas timbul tu tuntutan daripada Amanah Johor untuk bertanding di kerusi berkenaan.
“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lalu.
“Saya menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada PRK Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
Beliau turut menegaskan parti Amanah akan terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.