
SEMPORNA – Dua lelaki warganegara Filipina dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku atas kesalahan berurusan barang kawalan minyak petrol masing-masing sebanyak 1,050 liter di dalam jerikin (tong) secara runcit atau borong tanpa lesen.
Tertuduh, Manan Ahmad dan Roslan Gapul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Yang Arif Rosli Ahmad.
Kedua-dua orang yang tertuduh juga diperintahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen sebagai tindakan selanjutnya sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.
Menerusi kenyataan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Ketua Cawangan KPDN Semporna, Dr Jong Jee Leong berkata, tangkapan kes dilakukan oleh sepasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Semporna di perairan Pulau Boheyan dan Pulau Timba-Timba.
“Di dalam tangkapan yang berasingan tersebut, didapati Manan Ahmad (tiada dokumen pengenalan diri) dan Roslan Gapul (tiada dokumen pengenalan diri) masing-masing ada memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 1,050 liter di dalam 42 jerikin di dalam bot laju yang disyaki cuba membawa barang kawalan tersebut menuju ke negara jiran iaitu Filipina.
”Kedua-dua orang yang tertuduh ini didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki,” katanya di sini pada Selasa.
Jelasnya, sebagai tindakan lanjut, kes disiasat di bawah seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini ketirisan barang kawalan tersebut.
“KPDN Semporna tidak berkompromi dengan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi serta terus komited menggerakkan tindakan penguatkuasaan khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” tambah Jong.