KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Amerika Latin didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan pecah rumah dan mencuri RM7 juta dari sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan pada bulan lalu.
Yeyson Andres Rocha Garzon (39) dan Julian David Serna Pena (22) bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama individu yang masih bebas melakukan pecah rumah milik ahli perniagaan di sebuah rumah di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara pukul 10 malam pada 31 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bawah Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara selama lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Jika kesalahan yang dimaksudkan ialah untuk mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua atau seterusnya, bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.
Menurut laporan Kosmo!, semasa prosiding, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan akan menghantar representasi terhadap pertuduhan itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kedua-dua tertuduh merupakan warga asing selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua pihak, Hakim Azrol tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos ini bagi sebutan semula kes.









