
LAHAD DATU – Dua anggota tentera dipercayai hilang semasa mencari hasil hutan (akar hutan) bagi tujuan perubatan di Hutan Sri Darun, sejak Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, kedua-dua mangsa berumur 37 dan 41 tahun itu sebelum ini memasuki hutan berkenaan bersama dua lagi rakan lelaki.
“Dua lelaki selamat keluar dari hutan manakala dua tentera berkenaan setelah hampir 10 jam, belum keluar dari hutan terbabit.
“Laporan polis kemudian dibuat kedua-dua lelaki yang selamat keluar dan siasatan mendapati kedua-dua mangsa hilang menggunakan laluan cabang sungai kecil dan menuju dalam hutan,” katanya dalam kenyatan media pada Isnin.

Menurut Jimmy, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilakukan bersama 41 pegawai dan anggota polis, bomba, tentera serta Angkatan Pertahanan Awam, pukul 10 pagi, pada Isnin.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan SAR dilakukan radius 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, operasi itu ditangguh pukul 4 petang berikutan hujan lebat dan disambung pada Selasa.








