
SARATOK – Cubaan dua lelaki melarikan aset sebuah syarikat telekomunikasi menemui jalan buntu apabila mereka berjaya diberkas polis kurang lima jam selepas kejadian rompakan berlaku di simpang Ulu Krian, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 25 dan 29 tahun ditahan kira-kira jam 8 malam di kawasan perumahan Taman Seroja Indah.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, suspek dilaporkan telah melarikan beberapa peralatan operasi milik syarikat berkenaan termasuk satu unit janakuasa (genset), dua unit inverter dan seunit tangga.
“Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM19,000,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana merompak.





