PADANG BESAR – Dua sahabat nyaris maut selepas kenderaan yang mereka naiki hancur akibat terbabas sebelum merempuh sebatang pokok dan tiang elektrik di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar Hassan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 12.30 pagi ketika Perodua Ativa yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Chuping ke Bukit Keteri.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu memasuki lorong kanan sebelum hilang kawalan lalu melanggar pokok dan tiang elektrik di tepi jalan.
“Kemalangan dipercayai berpunca akibat pemandu yang mengantuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shokri, pemandu berusia 35 tahun mengalami kecederaan serius pada bahagian pinggul dan kepala manakala rakannya yang berusia 40 tahun hanya cedera ringan.
Tambahnya, kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.
Jelasnya lagi, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi sebelum memandu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.







