
TANJUNG MANIS – Dua orang nelayan tempatan dipercayai hilang ketika keluar menangkap ikan di sekitar perairan Kabong pada Rabu malam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sebelum Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Panggilan kecemasan diterima pada 9.50 pagi tadi, sebelum sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi pencarian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dua mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Tuah Bujang, 57, dan anaknya, Mohd Aiman Tuah, 24, kedua-duanya berasal dari Kabong dan bekerja sebagai nelayan.
Menurut Mahkos, operasi pencarian tertumpu di kawasan mangsa dipercayai hilang melibatkan keluasan sekitar 13.6 batu nautika persegi.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk menyalurkannya segera ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau menghubungi talian kecemasan 999.





