TANJUNG MALIM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan tadbir urus Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang disifatkan sebagai faktor utama mempercepatkan pembangunan industri di negeri ini.
Menurut Anwar, proses kelulusan yang pantas oleh Kerajaan Negeri berjaya menarik keyakinan pelabur serta mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi, termasuk di sektor automotif.
“Seperti mana disebutkan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar, dukungan dan kerjasama kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses kelulusan adalah contoh terbaik.
“Bukan sahaja di sini, malah pengalaman saya di KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian) turut membuktikan kecekapan Kerajaan Negeri yang membanggakan. Terima kasih,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kilang Kenderaan Elektrik Proton di Proton City, Tanjung Malim, pada Khamis.
Majlis berkenaan turut dihadiri Saarani; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Syed Faisal.

Dalam ucapannya, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara tiga kementerian yang diterajui Tengku Zafrul, Anthony Loke dan Chang Lih Kang dalam merealisasikan kejayaan projek berkenaan.
“Rakan-rakan menteri memperlihatkan dukungan kerajaan serta harapan supaya projek Proton ini berjaya.
“Kehadiran mereka mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan industri automotif negara terus berkembang,” katanya.
Anwar menegaskan, pembinaan kilang kenderaan elektrik (EV) Proton Holdings Bhd (Proton) di Tanjung Malim bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi, malah menjadi bukti kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam sektor automotif.
Beliau berkata, kesediaan China untuk memindahkan teknologi serta membuka peluang kepada tenaga tempatan diyakini mampu melonjakkan industri automotif negara ke tahap lebih kompetitif di rantau ini.




