SEMPORNA – Mayat dua warga Filipina yang hilang selepas terbabit dalam insiden perlanggaran bot di Laut Pulau Sebangkat akhirnya dijumpai di perairan Pulau Bohey Dulang, petang Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden (DSP) Fauzi Abd Kadir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pukul 1.15 petang.
“Mayat ditemui pasukan polis komando VAT69 yang menjalankan rondaan di perairan tersebut.
“Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Menurut Fauzi, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa berumur lingkungan 20-an dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis juga menasihati agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan sebarang isu yang belum disemak kesahihannya di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki dikhuatiri lemas sementara dua lagi parah dalam kejadian perlanggaran bot kira-kira pukul 6 pagi pada Selasa.






