KUANTAN – Seorang pekerja ladang dan tunangnya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang empat Melati, Kilometer 147, Jalan Kuantan–Seremban dekat Rompin, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari itu, mangsa, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, yang beralamat di FELDA Jenderak Utara, Kuala Krau, Temerloh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, tunang mangsa, Norafikaharanap Syafaruddin, 33, yang cedera parah dalam kemalangan itu, disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah kira-kira jam 11.30 malam tadi ketika sedang dirawat di hospital itu.
Katanya, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan tanpa muatan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Muadzam Shah.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa lori bergerak lurus, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



