
BELURAN – Dua warga asing yang menjadi buruan polis selama lima hari selepas menikam dan menyamun dua beranak yang juga majikan suspek dalam kejadian di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, di sini, Sabtu lalu ditahan di sini pada Rabu.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 50 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran Ladang Maxland, Tongod, kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, bertindak dengan kejadian samun yang mencederakan dua lelaki, kira-kira 2 petang, 1 Februari lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran menjalankan siasatan dan operasi mengesan dua suspek terbabit.
“Operasi yang diketuai oleh Ketua BSJ IPD Beluran, Asisten Superintenden Polis (ASP), Henry Laiyau dimulakan 2 hingga 5 Februari dengan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Balai Polis Tongod, Unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah dan Jabatan Siasatan Jenayah D9 IPK Sabah dijalankan membabitkan pemeriksaan di kawasan perkampungan, rumah kongsi estet dan ladang.
“Pasukan serbuan turut menyalurkan beberapa maklumat kepada penduduk sekitar bagi membantu mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Beliau berkata, bertindak dengan maklumat yang disalurkan orang awam, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.
“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan.
“Kedua-dua suspek akan ditahan reman bermula Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Sehubungan itu, Hasan berterima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya kedua-dua suspek.



