
PENAMPANG – Dua lelaki terlibat dalam kes penipuan berasingan di daerah berkenaan berjaya ditahan pada Selasa.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerusi kenyataan di Facebook menyatakan tangkapan itu melibatkan semua suspek warga tempatan.
“Tangkapan suspek pertama merupakan seorang lelaki berumur 37 tahun yang disyaki menipu mangsa sebanyak RM24,599 dalam urusan pemasangan tiang Sabah Electricity (SE).
“Suspek kedua berusia 59 tahun, yang ditahan selepas menerima RM1,000 untuk kerja pemindahan meter air yang tidak dilaksanakan.
“Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan bersalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun, tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Sehubungan itu, menerusi kenyataan tersebut Polis Penampang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.
“Pastikan membuat semakan latar belakang individu atau syarikat sebelum melakukan sebarang pembayaran,” jelas kenyataan itu.




