TAWAU – Sebanyak 20 rumah unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM1.6 juta pada tahun lalu selesai diagih kepada penerima manakala 40 unit lagi yang diperuntukkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibina tahun ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, pihaknya menerima banyak permohonan rumah SMJ berkenaan bagaimanapun kelulusan hanya diberikan kepada yang layak.
“Dianggarkan 30,000 penduduk Kukusan, namun yang berdaftar e-kasih hanya lebih 80 orang dan saya nampak di Kukusan juga banyak ‘middle income’ tapi bila kita turun ke bawah (lapangan) memang ada beberapa isu tapi dari segi kelayakan mereka tidak berapa layak memohon.
“Jadi di pihak pejabat ADUN kita bantu pemohon yang lengkap dokumen seperti status tanah untuk penilaian e-kasih kerana permohonan rumah ini adalah wajib berdaftar e-kasih namun ada pengecualian bagi terlibat bencana,” katanya kepada media di Tawau pada Selasa.
Dalam pada itu, Rina yang juga ADUN Kukusan turut menerima aduan berkenaan kualiti rumah SMJ selain keuntungan rendah kepada pihak kontraktor.
Bagaimanapun katanya, perkara itu dalam pemantauan dan diperhalusi kepada pihak kontraktor.
Selain itu, Rina memaklumkan lebih RM1 juta diperuntukkan Persekutuan dan pihaknya bagi kerja menaik taraf jalan berturap di kawasan Kukusan selain pengagihan bantuan kewangan secara one-off dan barangan berupa kanopi dan meja kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO), masjid, peniaga kecil dan pelajar.




