
KUCHING – Pihak polis menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api melibatkan sebuah jengkaut di tapak projek sekitar Jalan Tun Dato Abang Haji Mohd Salahuddin, Petra Jaya.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kedua-dua suspek ditangkap oleh pasukan dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selepas menerima laporan mengenai kebakaran tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap majikan yang didakwa tidak membayar gaji mereka.
“Suspek bertindak membakar jengkaut berkenaan menggunakan botol kaca berisi minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.
Bagaimanapun, polis menegaskan kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan sebarang aktiviti gengsterisme.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.




