SIBU – Dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina di Sarawak tahun ini di Engkilili dan Dalat sebagai sebahagian usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memperkukuh kecekapan operasi di negeri itu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kedua-dua projek tersebut akan dimulakan dalam tahun ini dengan tumpuan khas kepada penambahbaikan capaian perkhidmatan kebombaan di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, beberapa projek sambungan turut akan diteruskan dalam tempoh sama termasuk BBP Sungai Asap, BBP Tatau dan BBP Daro selain usaha pembelian bangunan baharu bagi BBP Kota Sentosa di Kuching.
“Keseluruhan projek di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) ini melibatkan peruntukan sebanyak RM42 juta, dan sebanyak RM4.9 juta daripadanya diperuntukkan untuk tahun ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah pada Majlis Penganugerahan Perkhidmatan JBPM Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menggesa JBPM Negeri Sarawak melakukan pemantauan rapi agar setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.






