MUAR – Tiga beranak meninggal dunia selepas kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Aziz berkata, mangsa yang disahkan maut di lokasi kejadian adalah pasangan suami isteri warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.
“Manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Sementara itu, seorang lagi penghuni yang juga cucu kepada mangsa berkenaan, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, siasatan awal oleh pihak bomba mengesahkan, kediaman berstruktur separuh batu dan kayu itu musnah sekitar 85 peratus.
“Seorang penduduk yang juga saksi awal kejadian memaklumkan melihat kebakaran ini sekitar jam 1.30 pagi. Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Kesemua mayat mangsa kini telah dihantar Unit Forensik HPSF untuk bedah siasat. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.15 pagi,” katanya.





