
KEKALAHAN Ahli Parlimen Kepala Batas – Dr. Siti Mastura Muhammad – dalam kes saman fitnah kelihatan sukar ditelan para penyokong tegarnya.
Bagi mereka, kekalahan ahli politik pembangkang itu kepada tiga pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) merupakan kekalahan yang bersifat sementara.
Dalam banyak komentar melalui media sosial, mereka mengatakan bahawa kemenangan akan dicapai wakil rakyat dari Kedah itu dalam ‘perbicaraan mahkamah akhirat’ nanti.
Selanjutnya, mereka menyalahkan tiga pemimpin DAP itu yang tidak menyaman penghasil sumber rujukan Dr. Siti Mastura ketika ahli politik itu berucap di Kemaman, Terengganu.
Bagi mereka, DAP sengaja menzalimi Dr. Mastura kerana menyasarkan saman itu kepada pihak yang menurut mereka ‘bukan sasaran sebenar’.
Mereka mengutuk DAP secara keseluruhannya dengan tanggapan sengaja membiarkan penghasil sumber rujukan Dr. Mastura itu terlepas daripada saman.
Mereka mahu lihat yang disaman ialah penghasil sumber rujukan itu – pihak tertentu dalam UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Apabila ada netizen memberi pencerahan bahawa isu risalah tuduhan palsu ke atas tiga pemimpin DAP itu sudah lama ‘selesai’, penyokong pembangkang tetap tidak berpuas hati.
Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa DAP sudah lama memaafkan penghasil buku atau risalah politik itu.
Mereka juga tidak percaya, bahan kempen politik UMNO/BN itu sudah lama terbit dan tersebar dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
Sebaliknya mereka menuduh DAP tidak menyaman UMNO/BN kerana sekarang dua parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Penat betul mahu kita mencuci pemikiran penyokong pembangkang yang sudah melihat DAP sebagai hantu dalam ranah politik mereka.
Sama ada DAP betul atau salah dalam sesuatu isu, parti yang melibatkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok itu tetap dihantukan mereka tanpa berasa bersalah.
Mereka menghasut rakyat supaya melihat DAP musuh – anti-Melayu, anti-Islam, dan anti semua perkara yang ada kepentingan pembangkang.
Mereka juga seolah-olah mahu rakyat percaya bahawa dalam DAP langsung tiada wajah Melayu, debu kehambaan kepada raja, dan cahaya Islam.
Tambah dikesali, dihantukan DAP dengan naratif fahaman pengganas komunis secara berterusan.
Allahurabbi, betapa zalimnya mereka dalam gerakan menghantukan DAP ini seolah-olah lupa mereka akan ajaran Islam agar adil kepada semua pihak.
Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum menyaman Dr. Mastura, tiga pemimpin DAP itu telah memberi ruang yang cukup luas kepadanya untuk memohon maaf?
Ya, peluang itu diberi; bukannya sehari dua, sebaliknya lama dan ada peringatan mesra melalui kaedah tertentu agar tarikh itu tidak terlepas.
Malangnya, Dr. Mastura tidak mengambil peluang itu dan bersedia ke ruang mahkamah; mungkin percaya dia mampu menang.
Bagaimana mahu menang, jika dia tidak mampu mendatang bukti secara berfakta bahawa tiga pemimpin DAP itu ada pertalian darah dengan Chin Peng?
Bagaimana mahu menang dalam keadaan dia mahu mengatakan buku atau risalah UMNO/BN itu sebagai rujukannya sedangkan dalam ceramahnya di Kemaman itu dia langsung tidak menyebut perkara berkenaan?
Ingat ini, penyokong pembangkang – dalam ceramahnya di Kemaman itu, Dr. Mastura tidak sesekali pun menyatakan sumber rujukannya itu.
Dia berceramah dengan yakin dan menuduh tiga pemimpin DAP itu, seolah-olah itu kenyataan, pengetahuan dan kajiannya sendiri tanpa sumber.
Dengan kata lain, itu tuduhan aslinya; dia yakin dengan kata-katanya; bukannya dia sekadar dapat maklumat cakap dengar.
Sekarang, apabila ahli politik sanjungan mereka kalah, penyokong pembangkang mula mengalih isu bahawa itu agenda terancang DAP menjatuhkan Melayu dan Islam.
DAP dituduh dengan hebat kononnya mahu merampas kuasa Melayu dengan cara ini.
Sekali lagi DAP dihantukan, nampaknya.
Parah betul, mereka – hidup dalam ketakutan yang langsung tidak perlu berlaku begitu.
Yang mereka perlu tahu, hantu itu ada dalam diri mereka sendiri.
Lama-kelamaan, merekalah yang akan menjadi hantu.







