DAP dakwa PN makin hilang hala tuju

JOHOR BAHRU – DAP mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang mengalami kemerosotan sokongan susulan isu kontroversi terbaru membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong, mendakwa kemerosotan itu berpunca daripada Bersatu, terutama sikap Muhyiddin yang masih terperangkap dalam kepompong jawatan perdana menteri yang pernah dijawat dalam masa singkat sebelum ini.

Sebaliknya, Chin Tong mendakwa Pas pula terus kukuh dan jika parti itu berjaya membawa pembaharuan dan bergerak mengatasi sentimen kaum dan agama, ia diramalkan akan terus kekal kuat.

“Saya berpendapat bahawa PN sebagai pembangkang sedang merosot ketika ini.

“Ia diburukkan dengan kekalahan gabungan itu pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri selain kontroversi Pengerusi PN itu dalam kemelut dengan Al-Sultan Abdullah kerana menyentuh kewibawaan baginda ketika berkempen di Nenggiri.

“Antara punca membawa kepada kemerosotan PN adalah Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu yang dilihat masih terjebak dan terperangkap dalam kemegahan masa lalunya sebagai perdana menteri dalam masa singkat, sekali gus tidak dapat bergerak ke depan melepasi fasa itu.

“Muhyiddin masih bermimpi untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

“Beliau terus memperkatakan tentang peristiwa penubuhan kerajaan pada November 2022, sekali gus menyebabkannya mempersoalkan keputusan rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Ia adalah cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum PRK Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan beliau berniat untuk memperlekehkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Mengulas lanjut Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kekuatan Bersatu hari ini hanyalah bersandarkan kepercayaan ahlinya bahawa Muhyiddin boleh membuat kemunculan semula sebagai perdana menteri.

“Idea ini (Muhyiddin kembali sebagai PM) telah menyebabkan PN berjaya memenangi 74 daripada 22 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15… dengan bantuan Pas.

“Bagaimanapun, idea untuk menjadikan Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak mampu menyelamatkan parti itu lagi.

“Apatah lagi Pas telah melahirkan pemimpin meningkat naik, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, sebagai calon perdana menteri seterusnya,” katanya.

Chin Tong berkata, Bersatu juga berhadapan banyak isu perbezaan dalaman termasuk jangkaan perpecahan antara pemimpinnya susulan pemilihan parti itu Oktober nanti.

Related Posts

Teraju Pahang slogan kosong Pas

KUANTAN – Kerajaan Pahang yang ketika ini diterajui UMNO tidak terkesan dengan kempen ‘Teraju Pahang 2.0’ yang sedang dilakukan Pas. Sambil menyifatkan kempen itu tidak lebih daripada slogan ‘kosong’, Pengerusi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sokongan semula kepada Tun M bukti Tun Faisal tidak konsisten – Puad

KRITIKAN oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz terhadap jalinan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan dilihat umpama menempelak dirinya sendiri. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

15 individu termasuk pelancong selamat, insiden perlanggaran bot di Semporna

15 individu termasuk pelancong selamat, insiden perlanggaran bot di Semporna

KPKT umum RM34.2 juta bagi 8 projek pembangunan Sandakan tahun 2025

KPKT umum RM34.2 juta bagi 8 projek pembangunan Sandakan tahun 2025

AS gerak usaha ‘bawa’ Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

AS gerak usaha ‘bawa’ Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

RMK13 perlu fokus sektor agromakanan

RMK13 perlu fokus sektor agromakanan

DAP Sabah sokong tindakan SLS, tuntut hak 40% Sabah

DAP Sabah sokong tindakan SLS, tuntut hak 40% Sabah

Teraju Pahang slogan kosong Pas

Teraju Pahang slogan kosong Pas