
PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menafikan dakwaan kerajaan mengeluarkan peraturan rasmi hanya boleh isi RON95 bersubsidi sehari sekali susulan pengumuman harga baharu RON95 yang berkuat kuasa pada 30 September ini.
Ketuanya, Faezuddin Puad berkata, tuduhan itu tidak benar dan apa yang betul adalah kerajaan mempunyai perancangan dalam mewujudkan mekanisme bagi mengenal pasti salah guna subsidi RON95 oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Fakta sebenar, boleh merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan II, Senator Amir Hamzah hari ini iaitu tidak akan membenarkan mereka yang buat banyak kali penggunaan petrol subsidi dalam sehari.
“Kerajaan mempunyai rekod lengkap penggunaan termasuk jumlah isian petrol yang dibuat oleh individu dalam sehari atau sebulan,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Sehubungan itu, Faezuddin berkata, tindakan itu sekali gus membolehkan pemantauan selepas pelaksanaan dibuat dan kerajaan akan terangkan mengenainya nanti.
Menurut beliau, matlamatnya adalah untuk memastikan subsidi berkenaan benar-benar dinikmati oleh rakyat yang layak dan bukannya pihak lain, termasuk warga asing atau pihak yang mahu mengambil kesempatan.
“Saya tak nampak dalam kenyataan Menteri Kewangan II kata “isi minyak hanya sehari sekali?” Ingat kerajaan tak cerdik macam walaun atau pemimpin walaun ke?
“Harap portal berkenaan dapat perbetulkan kenyataan dan tajuk berita yang tak betul ini, kemudian minta maaf.
“Kalau tidak, minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ambil tidakan tegas,” katanya.




