KUANTAN – Khidmat sokongan atau sistem sokongan yang berfokus memainkan peranan penting untuk memberi semangat kepada pesakit kanser yang berdepan cabaran emosi.
Menerusi kegiatan disediakan kumpulan sokongan ini, pesakit kanser bukan sahaja dapat memulihkan masalah kemurungan, tapi mampu meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.
Perkara itu menjadi keutamaan bagi Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP) yang ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu.
Pengerusinya, Zaridah Hashim berkata, ramai pesakit kanser atau penjaga mereka tidak menyedari kewujudan sistem sokongan ini.
“Walaupun kami (CSP) sudah wujud sejak Ogos 2020, namun saya fikir tidak ramai yang menyedari kehadiran kami dalam membantu memulihkan semangat pesakit kanser ini.
“Jadi, saya rasa perkara seumpama ini menjadi kerugian… kita ada satu ‘support system’ yang bagus (untuk pesakit kanser), tapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau boleh, kami di CSP ingin memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti bagi pesakit kanser dan keluarga mereka,” katanya.
Dia yang juga pengasas CSP, memaklumkan, pihaknya mengatur kunjungan atau ziarah ke rumah ahli bagi menghulurkan bantuan selain berkongsi semangat untuk melawan penyakit itu.
“Saya sendiri pun menghidap kanser, jadi saya faham apa yang mereka lalui.
“Kalau boleh, jangan biarkan kami (pesakit kanser) ini bersendirian… selalu temankan mereka berborak dan kalau boleh, keluar beriadah.
“Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka, semangat dan daya tahan untuk meneruskan perjuangan melawan penyakit kanser,” jelasnya.
Zaridah turut berkata, pihak CSP juga memiliki jaringan perhubungan baik dengan persatuan berkaitan pesakit kanser dari seluruh negara.
Katanya, perkara itu amat penting supaya ruang bagi perkongsian idea dan pertukaran maklumat membabitkan penyakit itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
“Paling utama adalah memulihkan semangat dan keyakinan diri… selalu beri motivasi, kata-kata semangat dan kasih sayang kepada mereka yang menghidap kanser,” jelasnya.







