PROGRAM Sejiwa Bola – Lagenda Pahang Gegar FELDA berlangsung penuh meriah di Padang Awam FELDA Chini 1, dekat Pekan, petang semalam.
Dianggarkan kira-kira 500 penduduk sekitar FELDA Chini hadir memberi sokongan padu dalam perlawanan bola sepak antara pasukan Pilihan Chini dan bekas pemain Pahang.
Turut menyarung jersi mewakili pasukan Pilihan Chini adalah Datuk Sharim Md Zain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini.
![]()
Antara legenda Pahang yang beraksi pada perlawanan itu adalah Azizul Kamaluddin, Azidan Sharudin, Hafiz Kamal, B Gopinathan dan ramai lagi.
Perlawanan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 4-4.
Sharim ketika ditemui selepas perlawanan itu memberitahu, program berkenaan adalah antara atur cara dijalankan sempena Gegar FELDA 1.0.
“Selain perlawanan antara wakil FELDA Chini dan bekas pemain Pahang, kita juga menganjurkan klinik bola sepak.
“Sambutan diterima sangat menggalakkan dengan 150 kanak-kanak di FELDA Chini menyertai klinik bola sepak dikendalikan bekas pemain Pahang itu,” katanya.
![]()
Beliau memaklumkan, inisiatif pelaksanaan program Gegar FELDA itu adalah cetusan idea Exco FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam selain mendapat sokongan penuh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“FELDA Chini adalah destinasi pertama dalam siri jelajah Gegar FELDA dan Insya-Allah, ia akan diperluaskan ke kawasan tanah rancangan lain.
“Saya difahamkan pengumuman seterusnya mengenai program ini akan dibuat Datuk Amizar pada 25 Oktober depan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka,” jelasnya.
Beliau berkata, objektif utama penganjuran program itu adalah bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak di kawasan FELDA di samping merapatkan hubungan antara komuniti setempat menerusi aktiviti berorientasikan sukan dan kecergasan.
“Saya berterima kasih juga kepada penaja utama program – Kedai Kopi Atuk – dan juga bekas pemain Pahang yang sudi turun ke Chini, bersama-sama kami bermain bola sepak dan berkongsi ilmu dengan kanak-kanak di sini,” ujarnya.





