
KLUANG – Calon Perikatan Nasional di DUN Mahkota (PN), Mohd Haizan Jaafar dilihat tidak maklum bahkan tidak faham punca pimpinan tertinggi PN menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan wakil rakyat pembangkang.
Calon wakil rakyat Bersatu itu bahkan mendakwa, beliau tidak tahu motif dan alasan pimpinan tertinggi PN menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan wakil rakyat pembangkang berkenaan.
Justeru, ini jelas menunjukkan bahawa PN menolak MoU yang dikemuka Kerajaan Perpaduan dengan alasan yang direka cipta pimpinan tertinggi pembangkang yang mahu menjadikan isu penolakan MoU ini sebagai senjata politik terutamanya ketika musim kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Beliau yang dikenali sebagai Coach Haizan menyatakan, pimpinan atasan PN tidak menjelaskan kepadanya berkaitan rasional penolakan pembangkang terhadap MoU itu sedangkan beliau sedang berdepan tempoh kempen 14 hari bagi meraih undi di DUN Mahkota ketika ini.
“Rosak… Itu (MoU) saya pun tak boleh, saya pun tak tahulah.
“Saya tak reti nak jawab, saya… itu saya tak boleh jawab, saya tak tahu, belum ke tahap tu,” katanya ketika ditemui media di Taman Sri Kluang, pada Rabu.
Coach Haizan berkata demikian ketika ditanya bagaimana beliau bakal berhadapan dengan rakyat di DUN Mahkota sekiranya dipilih sebagai ADUN sedangkan tiada peruntukan apabila kepimpinan PN sepakat menolak MoU berkenaan.
Pada 15 September, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.
Menurutnya, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.