
KLUANG – Mutakmar Pas yang melabuhkan tirainya pada 15 September lalu dilihat menjadi medan bagi ‘membiakkan’ politik kebencian
terhadap Kerajaan Perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Mana tidaknya, kepimpinan tertinggi Pas dengan menabik dada menyebarkan pelbagai fitnah, selain ucapan kebencian sehingga sanggup menungang agama membandingkan kerajaan Perpaduan dengan golongan munafik di Madinah.
Malah, Pas turut bersikap keanak-anakan apabila sayap Pemudanya meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.
Lantaran itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.
Sikap dipamerkan Anwar itu membuktikan beliau seorang pemimpin yang terbuka dan sentiasa menghormati pandangan disuarakan pembangkang, walaupun Menteri Kewangan itu telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat, Disember 2022.
Bagaimanapun, Pas terus berdolak-dalih sehingga sanggup dikecam sebagai pengecut apabila menolak cabaran Ahli Parlimen Tambun itu untuk membawa usul tidak percaya bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti di Parlimen yang membuktikan tiada keperluan untuk Pas menyahut seruan Anwar agar berundur dari jawatan Perdana Menteri.
“Anwar tidak boleh cepat melenting, tertekan dengan desakan meletakkan jawatan kerana itu perkara biasa. Jangan terlalu emosi sehingga orang akan menilai (keburukan Perdana Menteri).
“Kerajaan sudah ada majoriti dua pertiga, undi usul percaya pun dia (Anwar) dah menang besar, selain kita menyokong bajet dan Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentang kerajaan.
“Sebenarnya, tiada isu atau ancaman, Perdana Menteri harus melaksanakan tanggungjawab dan tunaikan hak, seperti dimahukan rakyat jelata,” katanya kepada The Malaysia Press ketika ditemui selepas Ceramah Umum di Kampung Baharu, malam tadi.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan kepimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan pendekatan itu bagi menumbangkan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau dilihat masih mengharapkan ‘tebuk atap’ ketika Langkah Sheraton masih boleh berlaku masa ini, walaupun hakikatnya agak mustahil untuk berlaku kerana adanya Akta Anti Lompat Parti.
“Sehingga setakat ini, kita (Pas) tidak ada melakukan perbincangan lanjut berkenaan perkara itu.
“Cuma jatuh kerajaan tak terfikir oleh kita pun, tiada perancangan apa-apa, tiba-tiba tumbang. Ini terjadi seperti Kerajaan DAP memerintah selama 22 bulan. Kami pun tak tahu Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan sehingga bertukar kerajaan,” katanya.
Terdahulu, usul percaya terhadap Perdana Menteri pada dua tahun lalu bertujuan membuktikan Anwar daripada Pakatan Harapan (PH), yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ini ialah seramai 148 orang merangkumi daripada PH 82, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Srawak (GPS) 23, Gagasan Rakyat Sabah (GRS) 6, Parti Warisan (Warisan) 3, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 1, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1, dan Bebas 2 kerusi.