
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin disifatkan mempunyai aura serta personaliti yang mampu mengubah masyarakat sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai nanti.
Abdul Nasir Salleh, 64, yang merupakan sabahat kepada beliau berkata, Cikgu Joohari merupakan seorang yang gigih serta mempunyai disiplin yang tinggi selain boleh dilihat serta diterjemahkan melalui tahap pendidikan yang dimilikinya sehingga membuatkan beliau berada pada tahap hari ini.
“Cikgu Joohari tidak akan menang sekiranya beliau tidak mempunyai pendidikan, Cikgu Joohari tidak akan menang sekiranya PMX tidak menjadi Perdana Menteri dan Cikgu Joohari tidak akan menang sekiranya mempunyai rakyat yang bodoh.
“Jadi ini menunjukan Cikgu Joohari akan menang kerana dia mempunyai pendidikan, dia mempunyai PMX sebagai Perdana Menteri dan dia akan menang sebab mempunyai rakyat yang cerdik boleh berfikir serta menilai dengan baik untuk memilih pemimpin mereka,” katanya.
Selain itu, sebagai seorang sahabat, beliau melihat Cikgu Joohari mempunyai nilai serta sikap yang konsisten selain merupakan seorang pempengaruh, tegas dan adil.
“Saya tengok tiga lapisan peribadi yang ada pada calon kita (Cikgu Joohari). Sifat kesukarelawan itu ada dalam diri cikgu. Nilai kesukarelawan ini amat tinggi dan semestinya ciri-ciri nak jadi sukarelawan, niat dan hala tuju mesti jelas.
“Dari segi pendidikan formal dia seorang yang telah jauh bermula dari pendidikan di sekolah rendah sehingga ke peringkat yang tinggi dan dengan pendidikan ini boleh merobohkan tembok kejahilan,” katanya.
Katanya, apa yang ada dalam diri PMX sudah pasti akan dilaksanakan oleh beliau sekiranya dapat merebut kemenangan pada PRK Sungai Bakap.
Oleh itu, semua masyarakat di Sungai Bakap diharapkan dapat memberi sokongan penuh buat calon yang mampu merubah dan memberi kebaikan buat rakyat.