
KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che’gu Bard direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tempoh reman itu bermula hari ini hingga esok.
“Setakat ini kita menerima satu laporan polis, ia proses biasa untuk membantu siasatan jika ada laporan.
“Kita membuat tangkapan jika ada keperluan.
“Jika siasatan selesai, mungkin kita tidak akan sambung reman, namun ia bergantung pada proses siasatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, hari ini, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, peguam, Rafique Rashid yang mewakili Che’gu Bard berkata, pihak polis membuat permohonan reman selama empat hari, namun mahkamah membenar perintah tahanan sehingga esok.
Katanya, anak guamnya ditahan reman bagi membantu tiga siasatan mengikut Seksyen 203(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi maklumat palsu menggunakan rangkaian telekomunikasi.
Semalam, media melaporkan, Che’gu Bard hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi memberi keterangan mengenai dakwaan isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi TLDM.