SEMALAM Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi ke Rusia untuk lawatan kerja atas undangan Presiden Vladimir Putin.
Lawatan kerja itu adalah tanda pengiktirafan Rusia terhadap keteguhan Anwar dalam membawa Malaysia mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Sepanjang empat hari di sana, Perdana Menteri akan mengadakan beberapa siri pertemuan penting dengan pimpinan Rusia, termasuk mesyuarat khas bersama Putin.
Tidak terkecuali, Anwar juga dijadual menyampaikan ucaptama pada KazanForum yang berlangsung di Moscow.
KazanForum adalah antara persidangan penting dalam menghubungkan ekonomi antara Rusia dan dunia Islam.

Deretan lawatan rasmi dan lawatan kerja dilakukan Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri adalah untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara.
Apatah lagi selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif timbal balik bulan lalu, Malaysia sebagai negara dagang, perlu memperkukuhkan hubungan dengan pelbagai negara.
Jika tidak, Malaysia bakal berdepan tekanan dari AS menerusi tarif timbal balik itu.
Mujur juga Donald Trump ‘menggunakan otak’ dan menangguhkan seketika pelaksanaan tarif berkenaan.
Bagi membuktikan bahawa tarif diumumkan AS itu boleh memberi kesan kepada iklim ekonomi setempat, Anwar tidak berselindung dalam hal ini.
Beliau memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi tujuan memberi penjelasan berkaitan tarif AS.
Segala strategi diambil kerajaan juga dibentangkan dalam sidang yang berlangsung 5 Mei lalu.
![]()
Tidak cukup dengan penjelasan, Perdana Menteri juga mengarahkan rundingan diadakan antara Malaysia-AS bagi menepati kadar tarif timbal balik yang bersesuaian.
Ketika semua usaha gigih sedang dilakukan Kerajaan MADANI dalam menyerap impak ketidaktentuan ekonomi global, pemimpin pembangkang pula kekal sibuk mencari salah kerajaan.
Hampir setiap benda dilakukan kerajaan, dibangkang mereka dengan hujahan yang lemah.
Apakah gabungan pembangkang di empat negeri (SG4) sudah bersedia menghadapi kesan perubahan ekonomi dunia, atau mereka sedang sibuk membina persepsi bahawa Kerajaan MADANI tidak menjalankan tugas dengan baik untuk menahan asakan kesan perang tarif antara AS-China.
Ruang sidang Dewan Rakyat diberikan baru-baru ini juga disia-siakan barisan pembangkang.
Mereka lebih suka membangkitkan hal remeh daripada menyumbang idea untuk menguatkan daya tahan negara semasa tekanan ekonomi berlaku.
Sungguh malang dan mengecewakan sekali.
Sudah tentu rakyat Malaysia secara amnya, mahu melihat pembangkang lebih berkualiti dalam berhujah dan membawa isu berkepentingan rakyat apabila Dewan Rakyat dibuka.
Dan, kita harap pada sesi Parlimen bulan depan, ahli Dewan Rakyat pembangkang akan lebih bijak, matang dan memilih hujahan berfakta ketika diberi peluang berbahas.






