PENGALAMAN bergaul dengan kelompok yang sering digelar sebagai ‘makcik bawang’ adalah sesuatu yang cukup dekat dalam kehidupan kita terutama di kampung-kampung.
Mereka ini lazimnya dikenali dengan tabiat menyebarkan cerita berunsur fitnah atau separuh benar dalam kalangan penduduk setempat.
Malangnya, perbualan mereka sering berlegar pada perkara yang negatif. Jika ada berita baik, ia jarang mendapat perhatian, apatah lagi untuk disebarluaskan.
Namun begitu, dengan perubahan zaman dan peredaran generasi, kelompok seperti ini mungkin sudah berkurangan di kampung-kampung.
Suasana di banyak kampung kini lebih tenteram dan harmoni. Sayangnya, budaya ‘makcik bawang’ ini tidak pupus begitu sahaja — sebaliknya ia kelihatan seperti telah bermigrasi ke alam media sosial.
Kita dapat lihat kecenderungan sesetengah pengguna media sosial yang lebih gemar berkongsi hantaran berunsur fitnah atau cerita yang tidak sahih di akaun peribadi mereka.
Sebaliknya, berita yang membawa kebaikan atau pencapaian positif tidak pula mendapat tempat untuk dikongsi atau diraikan.
Sebagai contoh, dalam kalangan penjawat awam sendiri — tidak ramai yang tampil memuji inisiatif kerajaan apabila skim perkhidmatan awam diperbaiki, termasuk pengumuman kenaikan gaji baru-baru ini.
Namun, apabila timbul isu tertentu, ada pula segelintir yang pantas menghentam kerajaan tanpa memberi ruang untuk penjelasan atau memahami konteks sebenar.
Saya percaya golongan seperti ini hanyalah segelintir. Analogi mudah — lalat tidak berada di semua tempat, tetapi kehadirannya sering berkait dengan kawasan yang kotor.
Begitulah juga sifat sesetengah individu yang lebih cenderung untuk melihat keburukan semata-mata — bak ‘mata lalat’ yang hanya tertarik pada kekotoran, dan bukan keindahan.
Begitu juga jika kita lihat wujudnya ruang seluas-luasnya untuk mengkritik kerajaan secara terbuka sebenarnya membuktikan bahawa negara ini masih subur dengan kebebasan bersuara.
Selagi ia tidak melanggar batas undang-undang, kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi yang matang — sekali gus menidakkan dakwaan bahawa Kerajaan MADANI hari ini menyekat suara rakyat.







