
KOTA KINABALU – Brown Eyes Production berjaya menewaskan lapan syarikat lain apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 bagi kategori usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) Tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta.
Peneraju bersama syarikat berkenaan, Ramlah Ahmad, 35, dan Sharul Hamid, 40, berkata, pemilihan mereka sebagai pemenang AKIS 2024/2025 bagi kategori berkenaan adalah agak mengejutkan memandangkan saingan adalah sengit.
“Kami agak terkejut dan tidak menyangka akan memenangi anugerah ini, Alhamdulillah malam ini rezeki Brown Eyes Production.
“Asalnya, perniagaan ini dimulakan oleh suami saya, selepas kami berkahwin, kami menjalankan perniagaan ini bersama-sama disebabkan oleh minat yang mendalam dalam bidang fotografi dan videografi.
“Nasihat kami kepada usahawan yang baharu bermula dalam bidang ini, jangan pernah berhenti melangkah teruskan mencuba, jangan pernah putus asa, mungkin ada kala kita rasa putus asa tapi kita perlu selalu berusaha sebab kita mungkin akan gagal tujuh kali dan kita akan bangkit untuk kali ke-lapan,” kongsi pasangan suami isteri tersebut.

Selain Brown Eyes Production, lima syarikat tempatan Sabah turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 atas kecemerlangan prestasi, inovasi serta daya saing dalam sektor perindustrian dan keusahawanan.
Syarikat-syarikat berkenaan adalah The Best Solution Management Sdn.Bhd, Twinine Sdn Bhd, Kedai Emas Osheen Jaya Sdn Bhd, Onaki Sdn Bhd dan Jetsin Sdn Bhd.
The Best Solution Management Sdn Bhd diumumkan sebagai pemenang bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta, manakala bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta dimenangi oleh Twinine Sdn Bhd.
Bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta dimenangi oleh Kedai Emas Osheen Jaya Sdn Bhd dan Onaki Sdn Bhd pula memenangi anugerah kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM50 juta.
Sementara itu, Jetsin Sdn Bhd telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori terbuka, iaitu syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM50 juta atau syarikat milik asing.
Kesemua anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025, di sini, pada Jumaat.







