KUANTAN – Penganjuran julung kali program ‘Briskwalk Keluarga Rakan Muda Aktif Masjid’ di pekarangan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bandar Pusat Jengka, pagi tadi, menerima sambutan luar jangka.
Pengerusi penganjur program, Razak Daud memaklumkan, pihaknya hanya mensasarkan 800 penyertaan bagi program berkenaan, namun jumlah pendaftaran diterima melebihi 1,000 orang.
“Kami terpaksa menutup pendaftaran selepas menerima permohonan ke 1,200 daripada peserta.
“Memang luar jangkaan dan kami amat bersyukur kerana program ini mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk sekitar,” katanya.
![]()
Program briskwalk itu dibahagikan kepada dua kategori – 4.6 kilometer (km) bagi penyertaan biasa dan 2.2 km bagi peserta warga emas.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, Razak memberitahu, program berkenaan juga ingin mengajak golongan muda mendekati program di masjid.
“Sebab itu kita letakkan juga dalam tajuk program – Rakan Muda Aktif Masjid – dan ia adalah bersesuaian dengan pengisian sepanjang program berlangsung,” jelasnya.
Program itu dimulakan dengan ‘Subuh Warriors’ di masjid berkenaan sebelum peserta menerima pek sarapan disediakan.
![]()
Peserta kemudiannya meneruskan briskwalk mengikut kategori masing-masing.
Dianjurkan Pejabat Agama Islam Daerah Jengka, program itu mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan, Kejiranan Rukun Tetangga kawasan, Kami Anak FELDA dan pihak berkuasa tempatan.
Razak memaklumkan pihaknya merancang untuk menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang selepas menyaksikan sambutan diterima daripada peserta.
“Insya-Allah… boleh diadakan lagi selepas ini dan kita harap program ini mencetus semangat semua pihak supaya dapat bersama-sama memakmurkan masjid serta menjalani gaya hidup sihat bersama keluarga,” katanya.


