
KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melupuskan tumpahan cecair merkuri berbahaya yang berlaku di Terminal Penerbangan Minyak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.50 pagi sebelum menghantar lima anggota bomba ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 6.57 pagi mendapati berlaku tumpahan merkuri disebabkan insiden termometer pecah di luar bangunan Terminal Penerbangan Minyak Petronas, jalan MAS Kargo, KKIA.
“Cecair merkuri berkenaan dilupuskan pasukan bomba dengan memakai set pakaian pelindung diri (PPE) sebelum dibersihkan menggunakan ‘Chemical Binder’ dan dimasukkan ke dalam bekas khas kemudian diserahkan kepada pihak keselamatan bangunan bagi tindakan pelupusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat kecederaan dan operasi ditamatkan pada pukul 7 pagi selepas keadaan telah dipastikan selamat.