ADA yang gemar melabel dasar kerajaan hari ini sebagai ‘bom jangka’ hanya kerana isu cukai. Tetapi mari kita bongkar, siapakah sebenarnya yang selama ini menanam bom dalam kantung negara sehingga rakyat hari ini terpaksa menanggung hutang berbilion?
Naratif kononnya rakyat ‘dihukum dengan cukai melampau’ adalah dongengan politik. Hakikatnya, kerajaan memperkenalkan reformasi percukaian untuk memastikan yang kaya-raya, korporat besar, dan kartel yang selama ini selesa mengaut untung tanpa menyumbang secukupnya – mula membayar balik kepada negara. Adakah itu melampau, atau itu namanya keadilan sosial?
Yang cuba ditakutkan ialah rakyat bawahan. Padahal majoriti isi rumah masih menerima subsidi elektrik, petrol bersasar, bantuan tunai, pendidikan percuma, rawatan kesihatan hampir tanpa kos. Siapa sebenarnya yang terbeban? Yang terbeban hanyalah golongan lama yang sebelum ini bebas menjarah hasil negara tanpa kawalan.
Ironinya, mereka yang melaungkan kononnya ‘cukai melampau bom jangka’ ini datang daripada kelompok politik yang pernah menaikkan tarif, mengenakan cukai baharu tanpa belas kasihan, dan menutup ruang rakyat bersuara. Kini mereka berpura-pura menjadi pembela rakyat, sedangkan sejarah membuktikan merekalah yang lebih ghairah menindas.
Rakyat perlu sedar: reformasi fiskal bukanlah bom jangka, tetapi alat untuk menyelamatkan negara daripada muflis akibat kerakusan politik silam. Bom jangka sebenar ialah fitnah, manipulasi, dan ketakutan yang sengaja ditanam untuk melemahkan keyakinan rakyat.
Kerajaan hari ini tidak sempurna, tetapi sekurang-kurangnya berani mengangkat agenda keberanian fiskal – memastikan yang kaya menyumbang lebih, yang miskin terbela, dan negara tidak lagi jadi keldai hutang.
Maka soalnya, siapa sebenarnya sedang bermain mercun politik, dan siapa pula yang berusaha mematikan fius bom dalam kewangan negara? Jawapannya jelas – yang benar tidak akan goyah dengan retorik murahan.
“Exco Dr Azman ni baharambang sokmo kalu nulis kat media sosial, level Exco tu, berahi benor cakap lipak orang.”








