PENGGUNA terutamanya rakyat negara ini dibenarkan membeli lima kampit beras putih tempatan (BPT) mulai hari ini, berbanding dua kampit setiap kali pembelian sebelumnya.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun had baharu pembelian ditetapkan sehingga lima kampit sahaja.
Jelasnya, langkah itu diambil selepas bekalan BPT kembali stabil hasil pelbagai langkah intervensi dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu.
“Jika sebelum ini kita (kementerian) hadkan hanya dua kampit sahaja, tetapi mulai hari ini kita benarkan pembelian lebih dua kampit, tetapi tidak melebihi lima kampit (setiap kali pembelian),”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed berkata, sehingga pertengahan April, sebanyak 3.16 juta kampit beras 10 kilogram diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi.
“Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,”katanya.




