
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan 41 senarai calon yang bakal menggalas amanah parti pada Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah termasuk dua doktor perubatan.
Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia sebagai satu manifestasi komitmen BN untuk menawarkan barisan kepimpinan berwibawa, berkelayakan dan mencerminkan aspirasi rakyat.
“Selaras dengan tekad membawa pembaharuan serta memperkukuhkan hala tuju pembangunan negeri, BN Sabah menampilkan dua calon doktor perubatan yang menjadi simbol kepakaran, integriti serta kemampuan profesional dalam memahami keperluan rakyat di lapangan,” katanya ketika berucap sempena pengumuman calon BN di Bangunan UMNO Sabah di sini, pada Ahad.
Dua calon doktor perubatan yang tampilkan ialah Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (N.12 Sulaman) dan Dr Elmiariezan Ardan (N.66 Apas)
Jelasnya, pemilihan dua tokoh perubatan ini adalah bukti bahawa BN Sabah serius menampilkan calon berkualiti dari segi intelektual, kepakaran profesional, empati rakyat, serta kemampuan untuk memacu agenda sosial dan ekonomi yang lebih kompeten dan berwibawa.
“Barisan calon yang diketengahkan hari ini diperkukuh dengan tahap pendidikan tinggi, pengalaman luas dan keupayaan mengemudi perubahan.
“Majoriti calon kita memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, dan dua daripadanya adalah doktor perubatan.
“Ini membuktikan bahawa BN bukan sahaja menawarkan calon berpengalaman, tetapi juga berwibawa dari segi intelektual dan profesional,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa BN Sabah membawa komitmen berterusan dalam memperjuangkan pembangunan negeri bermula daripada luar bandar, infrastruktur, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta memperkasa pendidikan dan modal insan.
“InsyaAllah, calon-calon ini mencerminkan tawaran menyeluruh untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih teratur, makmur dan inklusif,” tambahnya.
Katanya lagi, dengan penuh rasa tanggungjawab dan keyakinan BN Sabah percaya barisan calon kali ini merupakan kombinasi pengalaman, ilmu, kemampuan teknokrat dan semangat baharu yang diperlukan untuk membawa Sabah menuju masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.
Sebagai rekod, senarai penuh calon BN Sabah adalah N.01 Banggi, Normalah Rasik; N.02 Bengkoka, Datuk Harun Durabi; N.03 Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; N.04 Tg Kapur, Kevin Lee Sip Kin; N. 08 Pintasan, Tadzul Radim; N.09 Tempasuk, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
N.10 Usukan, Datuk Seri Dr Mohd. Salleh Said Keruak; N.12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin; N.13 Pantai Dalit , Alfian Sambas; N.16 Karambunai, Datuk Yakubah Khan; N.17 Darau, Arfandy Abdul Rahman; N.24 Tg Keramat, Jeffery Noor Mohamed; N.28 Kawang, Datuk Jamal Norubit @ Nerub; N.29 Pantai Manis, Redzuan Ismail @ Gari; N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Al-Amin; N.31 Membakut, Rusman Dulamit.
N.32 Klias, Osin Jilon; N.33 Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Laka; N.34 Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah; N.36 Kundasang, Japirin Sahadi; N.37 Karanaan, Nadzmin Kamin; N.38 Paginatan, Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat; N.41 Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi; N.45 Sook, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; N.46 Nabawan, Lajji Ompongoh; N.47 Telupid, Benedict Asmat.
N.48 Sugut, Mohammad Arifin Pachuk; N.50 Labuk, Yusuf Latif; N.51 Sg Manila, Zaini Tiksun; N.52 Sg Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir; N.53 Sekong, Mohd Zharif Aizat Datuk Samsuddin; N.58 Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; N.59 Sukau, Datuk Jafry Ariffin; N.60 Tungku, Saleha Wahid; N.62 Silam, Sharif Musa Sharif Mabul; N.63 Kunak, Datuk Sri Anil Jeet Singh; N.66 Bugaya, Abdul Manan Indanan; N.67 Balung, Erwan Palateh; N.68 Apas, Dr Elmiariezan Ardan; N.71 Tg Batu dan Samsasuddin Yusop; N.73 Sebatik, Aslan Fadli Samsul Alang.





