
TAPAH – Jawatankuasa Induk Barisan Nasional (BN) akan bermesyuarat untuk memuktamadkan manifesto gabungan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, dijangka akan dilancarkan pada minggu depan.
Pengarah Pilihan Raya BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perincian tawaran gabungan berkenaan akan memuatkan aspirasi calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir untuk mencorakkan Ayer Kuning, jika diberi mandat kelak.
Menurutnya, Setiausaha UMNO Tapah itu akan membentangkan insiatif serta pembangunan yang akan dilaksana di kawasan Ayer Kuning.
“Manifesto akan dibentangkan sendiri oleh calon (pada mesyuarat jawatankuasa induk) malam ini.
“Manifesto ini akan mengetengahkan penyelesaian dan tawaran berdasarkan keperluan setempat dengan keutamaan akan diberikan kepada masalah mendesak.
“Beliau sebagai calon pastinya mempunyai aspirasi sendiri untuk mencorakkan aspirasi sendiri untuk digambarkan (bagi pengundi) di Ayer Kuning,” katanya kepada media ketika ditemui dalam sambutan Majlis Hari Raya Persatuan Kelab Belia-Belia Malaysia (MAYC) Perak, pada Sabtu.

Perikatan Nasional (PN) menumpukan aspek pemerkasaan ekonomi setempat dan pembangunan prasarana luar bandar dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan dibentangkan minggu depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, manifesto itu juga akan menekankan bidang pendidikan, kebajikan serta pemerkasaan peranan belia dan wanita.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah sebanyak 66,318 orang terdiri daripada 31,897 pengundi biasa, 582 anggota polis serta pasangan.
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, Johor.



