KOTA KINABALU – Kemunculan gerakan calon bebas dikenali sebagai ‘Black Wave’ dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini membuka dimensi baharu dalam landskap politik negeri itu yang sememangnya terkenal dengan corak persaingan pelbagai penjuru.
‘Black Wave’ yang menghimpunkan calon-calon bebas di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah sebuah parti politik, namun menyerupai ‘blok teratur’ yang cuba menembusi ruang kekecewaan pengundi terhadap parti-parti sedia ada di Sabah.
Gerakan pimpinan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda yang menang atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat memanfaatkan pengundi luar bandar yang berdepan pelbagai isu lama yang tergantung menjadi ‘gajah putih’ seperti pembangunan terbantut, kelemahan infrastruktur, tiada peluang pekerjaan dan kehadiran wakil rakyat yang dianggap tidak efektif dalam membantu masyarakat setempat.
Kemunculan ‘Black Wave’ berlaku ketika politik Sabah berdepan keletihan akibat perubahan kerajaan, konflik dalaman parti serta kelesuan beberapa wakil rakyat dalam merungkai isu dasar berkaitan pembangunan negeri.
Kesempatan itu diambil oleh gerakan itu yang membawa mesej bahawa suara rakyat tidak semestinya memerlukan logo parti, sebaliknya bergantung kepada calon yang benar-benar dekat dengan denyut nadi masyarakat.
Apa yang menarik, ‘Black Wave’ dilihat sebagai usaha dalam membina identiti kolektif dalam kalangan ahli blok itu, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah politik Sabah apabila menempatkan calon bebas bukan sekadar sebagai ‘penyeri pilihan raya’, tetapi sebagai pelengkap alternatif kepada sistem kepartian sedia ada.
Namun, cabaran yang mereka hadapi juga tidak kecil. Tanpa jentera parti, kekuatan logistik dan rangkaian akar umbi seperti parti-parti sedia, calon ‘Black Wave’ berdepan persaingan sukar terutama di kerusi yang melibatkan lebih lima hingga sembilan penjuru dan menyebabkan undi mudah berpecah dan memberi kelebihan kepada parti-politik berstruktur.
Seharusnya, penyertaan ‘Black Wave’ menjadi ‘wake up call’ buat parti politik yang sudah lama lama bertapak berikutan gerakan itu mencerminkan keresahan sebenar masyarakat Sabah.
Gerakan itu memperlihatkan adanya kelompok pengundi yang semakin kritikal terhadap parti utama, khususnya melibatkan isu lompat parti, ketidakstabilan politik serta janji pembangunan yang tidak tuntas.
Persoalan besar kini ialah sejauh mana gerakan ‘Black Wave’ mampu menembusi sokongan 1.78 juta pengundi berdaftar pada hari pengundian.
Kemenangan satu mahupun dua kerusi sudah cukup memadai untuk membuktikan bahawa calon bebas mempunyai ruang signifikan dalam corak politik Sabah yang sentiasa berubah.
Sekiranya mereka berjaya mencipta kejutan, ia bukan sahaja mencerminkan kebangkitan politik akar umbi, malah menandakan pengundi kini lebih terbuka kepada calon yang bergerak di luar payung parti.
Namun, sekiranya gagal, ia tetap membawa mesej bahawa politik Sabah masih bergantung kepada kekuatan struktur parti untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
Akhirnya, ‘Black Wave’ bukan sekadar fenomena PRN17 Sabah, tetapi petunjuk terhadap tahap keyakinan rakyat terhadap politik arus perdana, sama ada masih dihargai atau semakin dipertikai.
Blok terbabit bukanlah disertai nama besar, namun percaya suara kecil itu mampu membawa perubahan kepada isu-isu akar umbi yang tidak pernah diselesaikan oleh parti-parti besar.






