
SANDAKAN – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Abdul Said Pimping memiliki tiga kekuatan utama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Menurutnya, faktor pertama ialah latar belakang Abdul Said sebagai anak jati Gum-Gum yang membolehkannya memahami keperluan, budaya serta denyut nadi masyarakat setempat.
“Beliau anak tempatan, sekolah di sini dan mempunyai rangkaian akar umbi yang kukuh.
“Itu satu kekuatan yang sangat baik dan saya berharap anak jati Gum-Gum ini dapat kita hantar sebagai wakil rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Kelompok di Bilik Gerakan Utama (BGU) Jalan Labuk Batu 8, di sini pada Ahad.

Shamsul Iskandar berkata, kekuatan kedua terletak pada sokongan dan kedudukan PH di Sabah yang sekian lama konsisten memperjuangkan agenda rakyat, selain bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.
“Kita masuk PRN17 dengan tujuan jelas iaitu membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan selari dengan aspirasi rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan manifesto PH memberi keutamaan kepada pengurusan peruntukan 40 peratus hasil yang diperoleh untuk Sabah secara lebih berkesan, termasuk pendidikan, prasarana dan pembangunan belia.
“Kekuatan ketiga ialah PH sebahagian daripada keluarga besar yang berupaya membentuk kerajaan.
“Itu sangat penting untuk masa depan Sabah,” katanya.







