PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang membina takungan air tambahan sebagai sebahagian daripada rancangan tebatan banjir jangka pendek dan jangka panjang, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata, takungan air baharu berkenaan akan mengurangkan risiko banjir kilat, terutama di Kuala Lumpur.
“Perancangan ini memang sudah ada. Cuma, kita merancang mengikut kemampuan kewangan yang ada dan apa yang ada itu kita laksanakan seboleh mungkin,” katanya selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Baharu Asia 2024 di ibu negara, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kebanyakan takungan air itu akan dibina di ibu negara di bawah pengawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sudah ada projek yang dijalankan, tapi ada satu projek membabitkan masalah reka bentuk dan kontraktor, dan ini menjejaskan perancangan kita.
“Kita kena lihat bagaimana pelan pemulihan untuk mempercepatkan mana-mana projek yang tergendala disebabkan kegagalan kontraktor,” katanya lagi seperti dilapor Bernama.
Hujan lebat luar biasa dan berterusan mulai jam 8.30 pagi tadi di Kuala Lumpur menyebabkan beberapa sungai utama termasuk Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak melimpah hingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan.






