SANGAT menarik bila ketibaan delegasi Malaysia yang diketuai PMX ke Lima, Peru dengan mengenakan songkok. Kalau di tanah air ianya biasa dan sangat biasa. Boleh sahaja delegasi Malaysia ini tanggalkan songkok sebelum tiba ke Lima, tetapi mesti ada sesuatu yang ingin ditonjolkan oleh sosok tubuh PMX.
Kelantangan Malaysia membela Palestin di persidangan luar biasa OIC dan kunjungan negara ke Mesir turut membawa senyuman lebar kepada rakyat Malaysia.
Pastinya, negara luar akan mengenali Malaysia sebagai negara Islam yang sangat berani demi keadilan dan kemanusiaan. Kecil dari Asia Tenggara tetapi ngaumannya akan dan sangat digeruni.
Songkok yang dijunjung ini pastinya simbolik kepada budaya di Malaysia sebagai penutup kepala bagi majlis rasmi dan keraian.
Walaupun ada pihak persoal kunjungan PMX dan ketiadaan beliau di Dewan Rakyat, pastinya jadual padat ini akan memberi impak bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada ummah keseluruhannya.
Sudah-sudahlah persoal tanpa asas jika kita tidak mampu untuk menjadi sebahagian yang membawa kebaikan.
Daripada mengherdik, baik diam tanpa tunjuk tidak cerdik.
Daripada menghina, baik diam tanpa mencerca.
Jika mengkritik, baik yang bernas tanpa ada yang jelik.
Bersama-sama berfungsi sebagai ummah dan rakyat sejati, bukan menjadi batu api yang hanya merosak pertiwi.




