
Fatin
TAWAU – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Ketua Bersatu Bahagian Tawau, Lim Ting Khai bersama 16 Jawatankuasa Bahagian Tawau mengumumkan keluar parti disebabkan hilang kepercayaan terhadap keimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yassin.
Ting Khai berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemelut dalaman parti yang berpanjangan selain kegagalan kepimpinan mengurus, perbezaan pandangan secara matang serta tindakan yang menjejaskan kepercayaan ahli diperingkat akar umbi.
“Demi prinsip maruah dan integriti perjuangan, kami mengumumkan bahawa kami keluar parti Bersatu berkuat kuasa serta merta dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tawau bubar secara rasmi.
“Keputusan ini mncerminkan pendirian majoriti Bahagian yang tidak lagi yakin dengan hala tuju perjuangan semasa parti,” katanya menerusi sebuah video di Facebook, pada Sabtu.
Lim yang juga bekas Bendahari Bersatu Sabah itu berkata, mereka turut menyatakan bantahan keras pemecatan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Pemecatan itu kami anggap tidak mencerminkan semangat demokrasi serta mengecewakan ramai kepimpinan dan ahli parti seluruh negara.
“Perjuangan kami tidak terhenti, kami terus pertahankan integriti dan kepimpinan yang diyakini demi masa depan ahli dan rakyat,” ujarnya.





